Saturday, January 11, 2014

Jonathan cipta rekod menembak kebangsaan

  • Jonathan Wong GuanjieAksi Juara, Jonathan Wong Guanjie yang mewakili negeri Melaka ketika melakukan bidikan dalam acara 10 meter air pistol individu lelaki pada Kejohanan Menembak Terbuka Selangor 2014 di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang, hari ini. - Foto Bernama
 1 / 1 
PENEMBAK elit negara Jonathan Wong Guanjie melakar kejutan apabila memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 10m Air Pistol individu lelaki pada hari ketiga Kejohanan Menembak Terbuka Selangor di Lapang Sasar Menembak Subang, di Kuala Lumpur, hari ini.
  
Penembak pasukan Melaka itu melakukan bidikan 200.1 mata bagi memecahkan rekod 197 mata yang dicipta oleh seorang lagi atlet kebangsaan, Eddy Chew pada Kejohanan Trofi Tun Hanif di venue yang sama, Julai lepas.
  
Eddy, yang mewakili Johor, turut melepasi rekodnya itu dengan catatan 197.3 mata untuk pingat perak manakala rakan sepasukannya, Choo Wen Yan berpuashati dengan pingat gangsa selepas mengumpul 176.2 mata.
  
Dalam pada itu, ATM terus mendominasi kejohanan itu dengan menambah tiga lagi pingat emas masing-masing menerusi acara lelaki 10m Air Pistol berpasukan serta 25m Standard Pistol individu dan berpasukan.
  
Khalel Abdullah muncul peserta terbaik ATM selepas menggondol dua emas manakala satu lagi emas disumbangkan oleh trio mereka; Alais Neek Sulong, Denis Ejoh @ Ajoh dan Aziz Yunus dalam acara 10m Air Pistol berpasukan.

Sementara itu, pasukan Pahang terus mendominasi Kejohanan Menembak Remaja Kebangsaan 2014 yang turut berlangsung di venue yang sama, selepas meraih tiga daripada enam pingat emas yang ditawarkan.
  
Emas pertama negeri Pantai Timur itu disumbangkan oleh Luqman Nul Hakim dalam acara 25m Standard Pistol individu lelaki dengan catatan 533 mata.
  
Pingat perak dan gangsa masing-masing diperolehi oleh Jasmi Mohamad Zin dari Negeri Sembilan dengan catatan 531 mata dan Raja Ahmad Firdaus Raja Mohd dari Terengganu yang mengumpul 529 mata.
  
Luqman menghadiahkan emas kedua untuk pasukan Pahang bersama gandingan Abdul Aziz Abdul Malik dan Eric Low Wei Chern dalam acara berpasukan menerusi bidikan 1,574 mata.
  
Trio Terengganu yang dianggotai Raja Ahmad Firdaus, Safirredzuan Salim dan Nik Muhammad Luqman Nik Omar sekadar berpuashati dengan pingat perak selepas mencatatkan 1,572 mata.

Acara berkenaan tidak menawarkan pingat gangsa kerana hanya disertai tiga pasukan iaitu Pahang, Terengganu dan Selangor.
  
Trio Pahang yang dianggotai Mohd Nurrahimin Abd Halim dan pasangan adik beradik; Mohd Nazirul Azhar dan Mohd Zulhilman Abd Mutalib menghadiahkan emas terakhir untuk pasukan berkenaan selepas memenangi acara 50m Rifle 3 Posisi berpasukan lelaki dengan catatan 3,331 mata.
  
Acara berkenaan bagaimanapun tidak menawarkan pingat perak dan gangsa kerana hanya disertai dua pasukan iaitu Pahang dan Selangor.
  
Tambahan tiga emas yang diperolehi oleh Pahang hari ini membolehkan mereka terus menerajui kedudukan pingat dengan pungutan sembilan emas, lima perak dan dua gangsa diikuti Selangor (4-3-2) dan Terengganu di tangga ketiga dengan 2 emas, enam perak dan dua gangsa.  - Bernama


http://www.sinarharian.com.my/sukan/jonathan-cipta-rekod-menembak-kebangsaan-1.239671

No comments:

Post a Comment